Friday, November 25, 2016

Dari Lubang-lubang Dinding Kemiskinan, Seorang Pengarang Mengintai Sebuah Harapan yang Infiniti.




Saya membaca Down and Out In Paris and London  karangan George Orwell ketika pertama kali menyedari bahawa tidak ada apa untuk dimalukan jika kalian terpilih untuk menjadi seorang pengarang yang miskin.

Hanya yang tinggal adalah keyakinan diri kalian untuk mempercayai bahawa kemiskinan bukanlah cara terbaik untuk membunuh bakat dan kesungguhan. Cuma kematian yang akan memisahkan sekujur tubuh dengan kata-kata yang semesta.

Namun untuk mengarang dalam keadaan perut yang sangat lapar dan meminta-minta bukan mudah, tetapi percayalah dengan sedikit tekanan dari rasa lapar ini, kalian pasti berhasil menuliskan sesuatu yang bagus dan indah kerana kerana keterpaksaan selalu menampilkan satu sisi diri kita yang amat berbeza; itu adalah suara kejujuran.

Perjuangan untuk seorang pengarang tidak hanya berfokus kepada soal kesunyian di tengah malam yang hening dengan secawan kopi yang dimasuki serangga. Lalu amarahnya membuak kerana terpaksa membancuh kopi kedua tetapi perjuangan sebenarnya adalah dunia di luar sana yang sedang menanti si pengarang menggaulinya sehabis mungkin. Setelah betul penat dan dikasari, barulah ia kembali ke kandang menulisnya. Sehelai kertas dan sebatang pena, di situ adalah ketulenan amarahnya yang sebenar.

Seorang  pengarang sejati, tidak akan tunduk terhadap sesuatu yang belum pasti membunuhnya.

Kecuali kematian.

Renungkan kata-kata daripada Paul Auster ini.