Sunday, May 07, 2017

Ini Tadika Kita ( Sebuah Apresiasi Buku : Ini Sekolah Kita )


Judul : Ini Sekolah Kita
Terbitan : Thukul Cetak Sdn. Bhd.
Tahun : 2017 


Sebuah kota yang sarat rahsia
adalah setiap pejam anak-anak
tatkala seruan tidurnya menjemput.

dengan sebotol susu dan sekalung mimpi
bagai menggenggam matahari
luar dan dalam isinya.

Sebuah kota yang polos dosa
adalah setiap senyum yang merekah
di bibir anak-anak
tatkala jenaka dan realiti
tak mengenali antara satu sama lain.

dengan pensil dan kanvas
umpama menukang hari esok
yang tak difahami
pedih dan menggigit
antara satunya.

aduhai, kesatria-kesatria kota,
kecil dan bahagia,
dengan dingin dan lembut tingkahmu
mengertilah,
di penjuru gelita malam,
malaikat pun berbaris,
dengan berkat dan rahmat,
menutup suis hari.

Adinata Gus, Shah Alam.
7 Mei 2017.

Ketika manusia menyepikan diri tentang kebobrokan yang telah berlaku kepada dirinya dan terhadap masyarakat. Aku selalu percaya, dunia masih menagih manusia-manusia seperti Hidayu Hatta, Musa Nuwayri dan Faris Isa seperti yang dikisahkan dalam buku berjudul Ini Sekolah Kita.

Catatan ini kutulis sebagai sebuah apresiasi bagi melahirkan rasa bangga dan berterima kasih kepada ketiga-tiga mahasiswa kita yang sanggup melupakan waktu tidurnya, merelakan perut laparnya, menjinakkan sabarnya atas nama kemanusiaan.

Naskhah ini kukira ia datang tepat pada waktunya, jika kita masih bersoal-soal tentang siapakah yang harus melakukan itu dan siapakah yang harus melakukan ini?

Tiadalah marahku, tiadalah bantahanku setelah naskhah ini menerima Anugerah Buku Negara bagi kategori buku kemanusiaan kerana yang selayaknya adalah niat yang murni, dan tugas-tugas yang dijalankan dengan ikhlas pasti menerima balasan yang setimpal.

Bagiku, ini adalah naskhah daripada penulis yang baik, dinukil dengan kata-kata yang baik dan berlandaskan niat yang baik pada akhirnya ia berjaya menyentuh hati sesiapa pun yang sedang menatap dan menekuninya saat ini.

dan aku akan terus mengimani kata-kata Sydney J. Harris bahawa

"The whole purpose of education is to turn mirrors into windows"

Kudoakan semoga akan lahir lebih ramai mahasiswa kita yang berani, matang dan berwibawa untuk terus mengibar layar-layar kemanusiaan yang sedang gah berdiri di bumi Jordan seperti yang telah dilaksanakan oleh Hidayu Hatta, Musa Nuwayri dan Faris Isa.

Tahniah kepada penerbit, penulis dan pendokong industri buku. Masih ada sinar dihujung sana!



No comments:

Post a Comment