( i )
Suaramu mengejar harakat
dua,empat,lima dan enam
ketika itu tahun 1999
bunyi cerek menjerit
mematahkan doa-doa subuh
ada yang sempat diaminkan
ada pula yang tertangguh dan
kembali segar ketika isya'.
( ii )
Aku terlalu cemburu
dengan matahari pagi
kerana terlalu awal
menjemput bas kilang
sebelum kau sempat
menyudahkan sarapan dan
sebuah ciuman kepada pipiku.
( iii )
Ketika tahun itu
aku terlalu ingin cepat tua
hendak kukikis karat segala
yang melekat di kuali dan
periuk rumah kita
moga-moga ia tak terlalu
mengingatkanmu akan kesusahan
serta suamimu yang telah tiada.
( iv )
ketika tahun itu
kau terlau ingin menjadi muda
memerah kudrat dan membetulkan silap
walhal padaku,bocor atap dan koyak baju
adalah puisi terbaik yang
merangkapkan hidupku seperti hari ini.
( v )
Aku mengejar harakat
dua,empat,lima dan enam
bergugur air mata
mentafsir surah Luqman.
No comments:
Post a Comment