Tuesday, August 30, 2016

Pulang Si Tenggang dan Aku Harus Bekerja

Berikut saya perturunkan sebuah sajak daripada sasterawan negara Muhammad Haji Salleh yang bertajuk ' Pulang Si Tenggang' sebagai sajak pilihan sempena hari kemerdekaan negara yang ke-59.
Bagi saya ini adalah sajak terbaik tentang makna kemerdekaan sebenar, makna merdeka yang baharu dan tidak konvensional.

Pulang Si Tenggang
( oleh : SN Muhammad Haji Salleh )

I
jarak jasmani yang kutempuh ini
adalah perjalanan jiwa
pemindahan diri dari tanah asal
ke negeri yang dikumpul oleh mata dan akal
ilmu yang kukutip darinya
adalah ilmu pendatang
yang belajar melihat,berfikir
dan memilih dari antara kenyataan
yang selalu berubah wajah

II
benar, aku pernah berlaga suara
dengan ibu atau nenekku
tetapi hanya setelah berkali memerikan rumit keadaan
yang tidak mereka fahami
isteri yang aku mulai cintai di laut kesepian
di sempadan yang mengasingkan
mereka bawa kepada prasangka
aku tidak pulang sepenuhnya, aku tahu
setelah dirubah waktu dan persekitaran
dikasarkan oleh kepayahan, dianehkan oleh perpisahan

III
tapi lihat
aku mengangkat diriku pulang
setelah diperbesarkan oleh rasa percaya
dilebarkan oleh tanah dan bahasa-bahasa
aku tidak lagi takut kepada lautan
atau manusia lain-cara
tidak mudah disesatkan
oleh bicara atau gagasan
perjalanan tegak sebagai guru di geladak
yang tidak enggan memaknakan
kebudayaan atau kelainan
lihat, aku seperti kau juga
masih melayu
peka pada apa
yang aku percaya
dan lebih sedia memahami
daripada adik atau abangku
muatan kapal ini juga buatmu
kerana aku pulang,

IV
perjalanan menjadikan aku pemilih
pencari yang sering tidak menerima,
daripada tangan yang tidak jujur,
atau yang mengungkit bayaran dari peribadi,
setelah tahun-tahun di lautan
aku belajar memilih beza,
menerima hanya yang teruji bandingan
atau seciap dengan bijak datukku
yang membawaku pulang
ke kampung dan kesempurnaannya.

V
aku sudah belajar
jadi kurang ajar,
memeluk kenyataan dengan logika baru
berdebat dengan hujah
pejal dan nyaring, tapi juga
menghulur santun, menghargai,
manusia dan kehidupan.

VI
aku bukan manusia baru
tidak terlalu
berlainan daripadamu
hanya penghuni dan kota
di pantai-pantai pelabuhan
menuntut bahawa aku tidak
bermenung di depan keasingan
rusuh diserang kepayahan
atau gerun kepada kemungkinan.

aku adalah kau
yang dibebaskan pagar kampong
tanah dan istiadat
merdeka kerana aku telah menemui diri.


manakala, di bawah ini pula adalah sajak peribadi yang saya karang dengan bahasa-bahasa mudah supaya kita mengerti luar dan dalamnya sekali.


Aku harus berkerja
( oleh Adinata Gus )


Aku harus bekerja
dan bersastera sekaligus
menidakkan waktu peribadi
memanjangkan lagi waktu
sepi-sepi yang kufahami sendiri.

Aku harus bekerja
dan bersastera sekerasnya
sebagai ganti Melayuku
lupa dan berulang sengsara
sebagai kutukan Melayuku
tegas pada tudung
bukan pada reformasi diri

Aku harus bekerja
dan bersastera dengan berani
menolak korupsi bawah meja
menepis jilat dan
kulat malas barah bangsaku

Aku harus bekerja
dan bersastera tanpa melankoli lagi
ini bukan zaman bersedu sedan
ini bukan zaman berlembut ketidaktahuan

Aku harus berkerja
dan bersastera semaksimumnya
supaya satu hari nanti
merdeka yang kufahami hari ini
tidak lagi dianuti semborono dan gila

Aku harus berkerja
dan bersastera supaya
dosa-dosa generasiku
tidak diwarisi tanpa rela
supaya tahulah mereka
keringat yang mengalir dari pena
bisa melumpuhkan menteri-menteri yang berdusta!

Aku harus berkerja
dan bersastera lebih tajam dari semalam
sebagai penunjuk jalan keluar
kepada kebodohan
yang tak sepatutnya dipanjangkan
tanpa kita mahu atau tanpa kita sedari!


31 Ogos 2016.


No comments:

Post a Comment