Saturday, September 03, 2016

Rahsia yang Menyimpan Rahsia

" I want to be with those who know secret things or else alone. "

Begitulah yang diungkapkan oleh Rainer Maria Rilke di dalam bukunya yang bertajuk Rilke's Book of Hours : Love Poems to God. Apa pula kaitannya dengan Sirr yang ditulis oleh dua penulis muda Elham Rebel dan Api Husien ini ? Saya sendiri belum menyediakan jawapan untuk itu, tetapi ungkapan Rilke sebentar tadi seolah-olah ingin memberi tanda bahawa saya akan jumpa satu lagi cara untuk memandang hidup setelah melewati pelbagai sisi yang lain dan cara tersebut adalah zine Sirr ini.

Ketika memegangnya pertama kali di acara Kota Kata ( dibeli terus daripada tangan Api Husien ), saya sedia tahu bahawa kesemua sajak dan prosa di dalamnya bakal mengganggu malam-malam saya pada masa akan datang. Bukan mudah untuk melepaskan kata-kata untuk keluar daripada kepala tanpa meninggalkan ruang yang kosong dan polos. Sekiranya berlaku, saya beranggapan ada sesuatu yang tidak kena pada sesebuah buku itu, atau dunia saya sendiri yang sangat terluka atau terbeban ketika membacanya.


Zine Sirr
Penerbit : La Lectrice Publishing
Boleh dibeli di FB :  La Lectrice

Saat mendapat tahu zine ini terbit, saya sama sekali tidak mengerti makna kata 'Sirr' yang menjuduli zine tersebut, jadi bagaimana saya harus menerka isi dalamnya? Kerana menjadi tabiat saya sendiri sebelum membeli buku-buku tertentu, gemar sekali membuat andaian atau teka-teki melalui tajuknya sahaja. Ini seumpama membuka pintu persoalan kepada diri sendiri sebelum meneliti isinya bagi mencari jawapan yang sebenar.

Tanggungjawab pembaca adalah meneroka, memerhati dan memperinci malah membangunkan sebuah ruang di dalam kepalanya sebagai tempat istirehat untuk buku yang bakal dibacanya. Di sinilah tugas pertama saya ketika menatap Sirr. Sebuah hutan kata-kata yang begitu lebat, di manakah makna kata Sirr ini berdiri tegak sebagai pohon makna? Melalui pencarian di Google Sirr menemukan saya dengan maksud seperti di bawah ini :

Makna Sirr adalah rahasia, tetapi sirr dalam ibadah maksudnya adalah mengadakan hubungan dan bertaqarrub kepada Allah dengan rahasia (tanpa diketahui oleh orang ramai ) dan juga Allah akan menghubungkan diri kepada hambanya dengan secara rahasia ( sirr ). 

sumber : http://arifinismail.blogspot.my/2011/01/sirr-rahasia.html


Jadi 'Sirr' yang ingin diperkatakan oleh Elham dan Api adalah 'Rahsia'. Sungguh ini adalah permainan kata-kata yang baik sekali sebermula daripada tajuknya lagi. Saya tidak tahu bagaimana mereka berdua ingin menyampaikan rahsia melaui prosa dan sajak. Adakah pembacaan saya kali ini akan berkakhir tanpa jawapan sama sekali. Adakah rahsia-rahsia yang terkandung di dalam zine ini boleh dileraikan dalam tempoh masa yang singkat? Ah! persoalan hanya menyudutkan hidup kepada lebih banyak persoalan.


Bahagian Pertama : Elham Rebel

Sejarah perkenalan saya dengan Elham tidak pernah ada. Cuma sekali pernah terserempak di acara Zine Fest pada tahun 2014 atau 2015 ketika itu diadakan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Sekadar mata dapat menangkap kelibatnya sebelum ditelan ribuan manusia. Mungkin pada masa akan datang, boleh saya meluangkan sedikit masa duduk berceloteh dengannya dan pulang menulis posting ' Elham di Mata Saya'.

Cuma Elham yang tahu bagaimana perasaan menelan sup rama-rama yang panas dan nikmat segelas cium pada musim hujan seperti yang digambarkan dalam ungkapan di atas. Bukankah ini metafora baru yang segar dan membangkitkan? Tidak cukup dengan itu, dia memaklumkan pula kepada kita sosok Nadia yang mempunyai nama di dalam bahasa Cina. Ini sesuatu yang mengjangkaui ekspektasi sesiapa pun. Siapakah Nadia ini sehingga nampak begitu penting untuk namanya mendapat tempat di dalam susunan kata-kata Elham.?

Menysuri satu persatu sajak dan prosa oleh Elham seperti membawa diri duduk di dalam sebuah koc kereta api menuju ke destinasi yang maha rahsia. Membiarkan tubuh mencari soul-nya sendiri tanpa perlu memaksa. Lumrah, kita tidak ingin menghadkan sepasang mata yang kita miliki ini cuma tahu memandang langit di luar sahaja, sesekali kita ingin ia hinggap di hamparan lalang, perbukitan yang jauh dan akhirnya menunggu papan tanda destinasi, sayang sekali papan tanda kita di sini telah disusun dengan empat huruf iaitu s-i-r-r. Jika sampai sekalipun, kita masih keluar daripada koc dengan membawa pertanyaan, adakah kelibat Nadia berjaya kita temui seperjalanan sebentar tadi? Ia bukanlah seperjalanan yang biasa dan mudah. Saya percaya setiap pembaca yang melalui pengalaman pertama kali membaca sajak dan prosa Elham akan mempunyai keinginan yang kuat untuk membeli tiket dan berfikir cara untuk kembali ke destinasi yang sama.


Bahagian Kedua : Api Husien 
Saya tak mahu penulis Api Husien menjadikan tulisannya sebagai bunga api, kerana saya sudah terlalu taksub akan bunyi-bunyi yang pernah dihasilkan meski lewat seperti yang dikatakannya. Kali ini biarlah waktu memainkan jarum keajaibannya untuk menukar bunga api kepada sebiji matahari, Tanpa matahari adakah manusia akan bisa bertahan?

Membaca sajak dan prosa Api Husien, memerlukan kekuatan dan kefahaman yang luar biasa. Tetapi malang sekali, saya adalah pembaca yang telah dilanggar oleh sajak dan prosa Api Husien terakibat daripada sikap kurang peka dan tidak mengamati jalan sastera dengan baik. Maka kepala saya pecah ditusuk kaca Nyx, Erebu, Thanatos, Sisyphus, Aeolus, dan Poseidon. Bahagian otak saya pula terburai di atas jalan sastera yang panas dengan butir-butir pasir Nebuchadnezzar, Yamuna, Ganges dan Tur Sina. Maka beruntunglah para pembaca yang memulakan perjalannya dengan segala persiapan yang baik dan sempurna. Tetapi untuk saya, sebagai mangsa kecelakaan di atas jalan sastera, selepas ini harus memperbaiki cara berjalan dan menguasai peta dengan sebaiknya. Tidakkah tingkat pembacaan itu seharusnya dilanggar terlebih dahulu?

Cuba lihat sajak di bawah ini

Kepada Malam yang Menunggu Subuh

Kepada malam yang menunggu subuh,

Kejutkan aku sebentar lagi. Keretapiku tiba awal pagi. Aku harus berebut mencuri tempat duduk. Abaikan sarapan. Perut keretapi lebih lapar daripada perutku. Wahai mimpi! Tak usah datang malam ini. Aku mahu tidurku polos. Aku tak perlukanmu, menemaniku.

Betapa kuat suara pergelutan yang dibawa oleh Api Husien. Gemanya cukup untuk memecahkan dinding hati kita yang selama ini ditahan-tahan. Sirr Api Husien adalah Sirr yang membuat pembaca serta merta bertukar kepada seekor gergasi yang meledak amarahnya. Berlainan dengan Sirr yang dipakai oleh Elham.

Menuju ke pengakhiran zine ini, pembaca akan terasa begitu mesra sekali dan akan menjadi lebih berani untuk berhadapan dengan segala berita atau kemungkinan yang bersifat rahsia. Pembaca seperti saya tidak lagi perlu takut-takut untuk mengintai sebuah rumah sastera kerana di dalamnya terkandung begitu banyak cerita-cerita yang akan menjadikan saya bukan lagi seperti hari ini. Saya tidak gerun untuk mendengar rahsia dan menterjemahkannya ke dalam kefahaman saya sendiri.

Menurut renungan saya, sesebuah buku atau apa sahaja bentuk bahan bacaan tidak akan pernah sampai ke tahap kesempurnaan yang total. Sesebuah buku adalah objek yang mencipta dosanya sendiri, tetapi dosa-dosa ini bukanlah yang melalui pengalaman dosa dalam konteks keagamaan, tetapi sebaliknya dosa yang membentuk renungan dan pengalaman yang harus disucikan oleh pembacanya sendiri melalui proses pembacaan yang tekun lalu menyelesaikan isi yang ingin disampaikan dengan cara yan terbaik. Maka setelah itu, barulah sesebuah buku dianggap telah tertebus dosanya.

Seperti kata Rainer Maria Rilke di awal teks, saya berkesimpulan untuk terus hidup bersama rahsia-rahsia yang dipunyai oleh Elham Rebel dan Api Husien, jika tidak saya harus bersendirian selamanya tanpa ada pintu untuk menunjuk jalan keluar.

Adinata Gus,
September 2016
Bangi.

1 comment: