Monday, September 05, 2016

Hari yang Ditakdirkan untuk Bertukar Sepasang Mata.


             " I shut my eyes and all the world drops dead ;
I lift my eyes and all is born again."

― Sylvia PlathThe Bell Jar

Jika ada satu hari yang ditakdirkan untuk membolehkan kita bertukar sepasang mata dalam tempoh tertentu kemudian mengembalikannya semula kepada pemilik asal, saya sangat berkeinginan untuk meminta kedua-dua bola mata Zurinah Hassan dan Ainunl Muaiyanah Sulaiman atau Sylvia Plath sendiri seperti di atas.

" Saya menutup mata, dan dunia lantas mati ; Saya membuka mata dan semuanya terlahir semula." Aduh ! saya hampir tidak percaya ungkapan yang menggugahkan jiwa ini terpacul daripada pena seorang perempuan muda ( salah seorang penulis  Eropah yang mati muda ). Malang sekali hidupnya berkahir dengan tragis sebelum sempat menyalami zaman kesusasteraan eropah untuk jangka masa yang panjang. Sylvia Plath pergi terlebih awal, sebagai penyihir kata-kata dengan tongkat saktinya telah bergerak ke seluruh pelusuk dunia.

Baik, setelah ketiadaan Sylvia, apakah masih ada harapan untuk saya melihat dunia daripada bebola mata seorang wanita? Lebih-lebih lagi sebagai seorang lelaki-muda-baru-belajar yang ingin berserius tentang sastera. Mahu tidak mahu saya memetik nama Zurinah Hassan dan Ainunl Muaiyanah, boleh jadi ada ramai lagi di luar sana, tetapi tumpuan saya setakat ini hanya terarah kepada dua sosok penulis ini. Kedua-duanya pada mata saya adalah penyair wanita sejati. Sejati yang bagaimana ? Tepuk buku baca isinya.





SN Zurinah Hassan
Meneruskan Perjalanan ( Kumpulan Cerpen )
 DBP Cetakan Pertama 1987



Seperti yang saya utarakan di awal rangkap sebentar tadi, tentang meminjam mata orang asing, atmosfera sastera kita juga tidak pernah terlepas sebagai seorang pengecut. Pengecut kerana pada suatu masa dulu, tidak ada yang berani menjulang bebola mata seorang perempuan untuk dinobatkan sebagai tokoh sastera, sehinggalah baru-baru ini tebing sungai sastera yang kita terlalu menjaganya telah pecah dihentam arus Zurinah Hassan. Maka semua orang terdiam dan terlopong tatkala karya-karyanya mulai dipercayai dan menunjukkan sisinya yang tersendiri. Walaupun masih ada, decit-decit bunyi yang meragui dan menghentamnya sekaligus.

Ketika dunia melambakkan kita dengan dominasi karya-karya seorang lelaki, harus kita beringat dan selalu percaya bahawa di luar sana kilat beg kulit LV, Pandora, dan tudung Neelofa tidak selalunya memukau mata seorang perempuan. Masih ada kata-kata yang sedang mengalir dari pena, hanya sedang menunggu masa untuk tumpah di meja bacaan kita. Zurinah Hassan telah membuktikannya kepada kita.



SN Zurinah Hassan
Pujangga Tidak Bernama
DBP Cetakan Kedua 2016

Sesuatu kejadian pasti akan mengulangi keajaibannya lagi pada suatu masa akan datang. Begitulah yang saya yakini hari demi hari ( menunggu kelahiran semula Sylvia ?). Tetapi kita selalu tak punya hayat yang abadi. Maka untuk memastikan kitaran keajaiban itu terus berlaku, harus ada seseorang yang menyedarinya dan tidak terlalu beralasan untuk menyandang tugas tersebut. Di sinilah tangan Ainunl Muaiyanah dengan beraninya menerima baton larian daripada Zurinah Hassan untuk mencipta keajaiban lagi.

Kita tidak pasti apakah Ainunl seorang pelari kedua, ketiga atau yang terkahir akan menyempurnakan acara larian di trek sastera ini. Merujuk kepada judul Perempuan Bulan Perempuan Hujan yang saya baca baru-baru ini, sebagai penonton di tempat duduk stadium, saya tidak kekok untuk bersorak kepadanya dan melambai-lambai dari kejauhan sebagai tanda sokongan.



Ainunl Muaiyanah Sulaiman
Perempuan Bulan Perempuan Hujan
ITBM Cetakan Pertama 2015

Setelah kita pinjam bebola mata seorang Zurinah Hassan, sudah tentu rasa bosan atau ingin bertukar selera datang sedikit demi sedikit. Kita tidak mahu perspektif dunia ini tersudut kepada satu cara pandang sahaja. Sepatutnya memang harus bertukar-tukar pun. Maka saya cabut kedua-dua bola mata Zurinah Hassan dan meletakkannya di atas rak semula dengan cermat dan hormat. Sekarang, buat seketika saya tercari-cari bebola mata wanita yang sesuai untuk dipakai ketika malam dan siang, seperjalanan saya meninggalkan mata sendiri sehinggalah saya bertemu dengan bebola mata Ainunl Muaiyanah di acara Kota Kata 2016.

Hasilnya? Aduh enak sekali ! Cuba bayangkan begini, jika anda sedang menunggu giliran untuk mandi, dengan mata yang mengantuk dan penat tubuh yang tersisa, adakah sempat untuk mengarang puisi-puisi romantis dan menyenangkan? situasi yang lain pula, jika anda ingin membela seekor haiwan peliharaan adakah anda akan memilih seekor singa? Untuk seorang Ainunl Muaiyanah mungkin ya.

Cuba perhatikan petikan sajak di bawah :


Penunggu Kamar Mandi

Aku menunggu giliran masuk ke dalam kamar mandi
meski tiada nombor untuk kupilih 
kerana kamar mandi sekecil itu
telah ditempah sepanjang tahun
untuk penghuninya bermandian dan 
membiarkan orang luar mendengar nyanyiannya.

Peristiwa di Halaman Rumah

Terkemudian hari, setiap pagi tanpa sabar
aku sering bingkas bangkit keluar berharap
seekor singa tertidur di halaman rumahku.

Di dalam sesebuah sajak, bukanlah sesuatu yang ditulis si penyajak itu bersifat langsung terus sampai ke akal fikiran. Kedua-dua sajak di atas boleh jadi menjiwai perkara lain bukanlah tentang kamar mandi semata-mata, tetapi ah! siapa yang punya banyak masa untuk memetaforakan sebuah bilik mandi jika bukan Ainunl!.

Jadi, setelah sejauh ini saya mencuba, melihat dan memulangkan semula sepasang mata Zurinah Hassan dan Ainunl Muaiyanah, sebagai seorang-lelaki muda-baru bermula, saya beranggapan sekaligus rasa tercabar, akan keupayaan wanita-wanita masa kini. Perlu diingatkan juga, dunia sastera bukanlah padang bola semata-mata yang menunggu gawang gender untuk dibolosi, sebaliknya sebagai pemain sastera di atas padang tersebut, sudahkah kita mempersiapkan diri dengan latihan yang cukup daripada segi keupayaan berfikir, berstrategi, daya kreatif dan kritis. Semangat juang adalah perkara utama sebenar-benarnya.

Semoga Zurinah Hassan dan Ainunl Muaiyanah terus bersedia mencantikkan kedua-dua bola mata masing-masing lalu sudi meminjamkannya kepada semua orang yang memerlukan. Wanita yang saya yakini adalah adalah wanita yang berterusan bekerja untuk dirinya dan orang lain.











Cuba kalian baca sepotong sajak dan cerpen daripada Ainunl dan Zurinah Hassan di atas. Masihkah lagi kita mahu bermalas-malasan untuk menyempurnakan tugas menulis? Wanita pada mata saya adalah seperti kata Maya Angelou:


“I am a Woman
Phenomenally.
Phenomenal Woman,
that's me.” 

Adinata Gus
Bangi
September 2016.


















No comments:

Post a Comment