Thursday, September 08, 2016

Li & Uno : Aisyah Rais

Saya tidak pernah untuk tidak percaya kepada keajaiban. Kerana saya masih percaya kepada masa. Bahawa masa akan tetap mengulangi sejarahnya sendiri dan hari ini keajaiban itu telah berlaku di depan mata seorang Aisyah Rais yang menulis zine Li dan Uno.


“Miracles happen quietly every day—in an operating room, on a stormy sea, in the sudden appearance of a roadside stranger. They are rarely tallied. No one keeps score.

But now and then, a miracle is declared to the world.

And when that happens, things change” 

― Mitch Albom, The First Phone Call from Heaven


Cuba lihat apa yang diperkatakan oleh Mitch Albom, mahu tidak mahu kita akan tetap percaya bahawa keajaiban akan terus berlaku kerana kita telah mengakuinya sedari awal lagi. Setelah keajaiban itu terjadi, maka natijahnya sudah pasti akan mengubah seseorang/sesuatu itu kepada satu bentuk baru. Selalunya menjelma kepada yang lebih baik dan membuka perspektif.


Zine Li
Penulis : Aisyah Rais
Terbitan : Rumah Amok
Edisi : Cetakan Pertama 2016


Saya tidak pernah tahu dunia yang bagaimana sedang didiami oleh Aisyah, sehingga keajaiban telah memilihnya untuk dijadikan sebagai subjek eksperimen tak tersangka-sangka ini. Zine Li ini telah merakam naratif yang tersendiri dan secara peribadi saya tidak teragak-agak untuk mengatakan, ia harus berdiri sama tinggi bersama lambakan buku sajak yang dihidangkan kepada kita di luar sana. Tetapi dunia tepukan dan pentas bukanlah  yang diinginkan oleh Aisyah.

Selesai membaca Li, dunia saya terpaku sendirinya. Mata saya buntang. Seolah-olah dunia mengisytiharkan bahawa waktu telah diberhentikan. Tiada lagi ruang untuk saya bergerak ke mana- mana kecuali kembali ke tapak asal imaginasi saya sebentar tadi.

Li, adalah keajaiban yang memyihir keajaiban.

Jika sesebuah filem berdiri di atas asas naratif yang baik, lakonan yang jujur, sinematografi yang cantik dan dialog yang berkesan, maka Li tidak terlepas daripada perkara yang sama walaupun ia sebuah zine untuk dibaca bukan untuk tontonan namun membaca Li seolah-olah meletakkan diri kita ke dalam sebuah panggung wayang imaginasi di mana kita dapat menyaksikan sebuah filem yang terlalu enak dan sayang untuk dihabiskan. Diksi dan imej yang dibangunkan oleh Aisyah sangat sederhana dan minimal. Sejumlah percakapan-percakapannya yang dirakam itu ( siri berbalas sajak dalam masa yang sama ianya sebuah perbualan ) datang meresap ke dalam hati kita tanpa dipaksa-paksa. Lalu, secara dalam diam kita mulai mengakui ini sebuah tontonan sekaligus pembacaan terbaik yang kita pernah lalui.

Aisyah memperkenalkan kepada kita watak Li & Ara seperti di bawah :



Lebih mengejutkan Li yang diperkenalkan di sini, adalah satu sosok asing kepada Aisyah apatah lagi kepada kita yang sedang menekuninya. Melalui pembacaan kali ini, saya bertanya kembali kepada diri sendiri bagaimanakah jika kejadian seperti itu ( orang asing yang muncul secara tiba-tiba ) datang ke dalam hidup saya? Apakah cara terbaik untuk saya menanggapinya. Begitulah keajaiban, tidak berlaku kepada semua orang, tatkala ia tiba mengetuk pintu dimensi Aisyah, beliau menyapanya dengan baik sekali.

".....sometimes one feels freer speaking to a stranger than to people one knows. Why is that? "
" Probably because a stranger sees us the way we are, not as he wishes to think we are ".

--Carlos Luis Zafon, The Shadow of the Wind

Dunia yang kita percaya terkadang dikhianati dari dalam, namun dipercayai oleh orang yang datang dalam keadaan asing dan polos.

Berikut adalah rakaman video bagaimana cerita di sebalik zine Li



Mengikut susunan tahun penerbitan Zine Uno datang lebih awal daripada Zine Li, tetapi saya memilih untuk membaca Li terlebih dahulu berbanding Uno. Melalui pembacaan secara sekilas lalu ketika pertama kali mendapatkannya, saya merasakan ada sesuatu yang baik tentang Li. Jadi, membuka lembaran Uno memerlukan saya untuk segera meninggalkan ketakjuban dan kelainan yang ada pada Li dan kerja untuk meninggalkan sesebuah naratif luar biasa bukanlah kerja yang mudah seperti menyingkir kulit kuaci daripada bibir.


Zine Uno
Penulis : Aisyah Rais
Terbitan : Rumah Amok
Edisi : Cetakan Pertama Jun 2015


Uno mengumpulkan sejumlah 19 sajak dan prosa untuk dinikmati oleh kita. Di dalam zine ini saya menemukan rentak yang sederhana namun lembut dan berkesan. Kata-kata yang ditiupkan oleh Aisyah tenang menyapa ingatan saya sama ada untuk masa sekarang atau kenangan lepas.

Sebuah sajak yang ditulis beliau akan sentiasa menjadi kegemaran saya ( sehingga sanggup menulisnya semula dan ditampal pula pada dinding ). Saya perturunkan sajak tersebut seperti di bawah :

fungsi

sebiji balang tidak bernyawa untuk dirinya
ia rumah kekacang, asam jeruk dan serbuk kopi

sebutir kacang tidak bernyawa untuk dirinya 
ia makanan manusia, haiwan dan tanah

seorang manusia tidak bernyawa untuk dirinya
dia ___________________________________

Sajak ini boleh dibaca berkali-kali tanpa jemu, semacam membina satu perasaan khayal dan membingungkan, lihatlah kepada ketepatan kata serta pemilihan imej yang merangka sajak tersebut. Ia berjaya membawa kita daripada satu tingkat fikir kepada tingkat yang lain. 



Jika saya mempunyai peluang untuk menamatkan pembacaan zine ini menurut kebebasan peribadi, saya akan meletakkan sajak ini di muka surat paling akhir. Lihatlah, bagaimana Aisyah mengajak para pembacanya untuk turut berfikir apakah keutamaan untuk menulis puisi sebenar-benanrya. Benarkah seperti yang dikatakan kita harus mati berkali-kali untuk untuk menambah erti kepada hidup yang sedia ada ini?

Merenung kembali kata-kata Charles Bukowski

" You have to die a few times before you can really live." - The People Look Like Flowers at Last

Barangkali, saya bersetuju untuk Aisyah Rais dan Uno-nya.


No comments:

Post a Comment