Tuesday, November 01, 2016

Ping-Pong Puisi

"Puisi selamanya tetap akan menjadi sebiji bola ping-pong, melantun-lantun untuk mencari dinding jawapan yang kesamaran".

Saya tidak pernah menganggap dinding jawapan itu betul-betul akan wujud. Jika wujud sekalipun, ia tetap tidak akan terteguh begitu lama sebelum roboh menyembah bumi, sesudah roboh pastilah bola ping-pong sebentar tadi akan meneruskan momentumnya mencari dinding yang baru.

Sebetulnya saya tidak pernah menemui jawapan tulen untuk soalan 'Puisi: Apa yang Aku Cari?', kerana pada hemat peribadi, jika saya mencari estetika saya boleh mengulang seribu kali buku-buku penyair Latiff Mohidin, jika saya mencari lirik dan ketepatan saya boleh menekun sejuta kali buku-buku penyair T. Alias Taib, malah jika saya ingin mencari harmonis dan kesederhanaan saya boleh khatam seberapa banyak pun buku-buku penyair Sapardi Djoko Domono.

kata-kata tidak akan pernah abadi kepada satu penemuan dan kepuasan.

Jadi, apakah pula pandangan kalian terhadap puisi, dan sudahkah kalian menemui apa yang dicari di dalam puisi?

Setelah sejauh ini, saya teringat kembali kata-kata yang pernah diucapkan oleh seseorang yang pernah membawa diri saya ke dalam lingkungan bulatan sebuah usrah. Ucapnya begini, " Bawalah agama yang ada di dalam diri ke mana pun, maka kamu akan bertanggungjawab ke atasnya seperti kamu menjaga maruah diri".

Ungkapan sebentar tadi berbunyi tegas dan bijaksana sekali. Maka, sehingga ke hari ini saya masih lagi memakainya ibarat seutas rantai kepada leher.

Jadi pada hari perbincangan puisi yang mengangkat tajuk ' Puisi; Apa yang Aku Cari?' baru-baru ini, saya teragak-agak untuk bertanya beberapa soalan kepada panelis, tetapi setelah berkira-kira dan mengimbau kembali kata-kata ahli usrah sebentar tadi, saya hanya merumuskan untuk diri sendiri dan menyalin kembali semangat ungkapan tersebut bersesuaian dengan lingkungan dunia penulisan puisi yang sedang ditekuni.

" Bawalah puisi yang ada di dalam diri ke mana pun, maka kamu akan bertanggungjawab ke atasnya seperti kamu menjaga maruah diri".

Saya cenderung untuk berkesimpulan, yang sebenar-benar puisi adalah diri manusia itu sendiri. Ketika ia berjalan ke tengah masyarakat, melihat kemiskinan, penindasan, kecurangan, kekerasan dan kelembutan lalu pulang dan menumpahkan perasaannya ke dalam puisi, ia harus selalu menyediakan dirinya dengan sebuah cermin besar sejurus bertanya adakah aku sedang bertindak adil terhadap segala yang kulihat sebentar tadi? Jika kemiskinan melarat adakah aku harus bermewah-mewahan, jika penidasan sedang memuncak adakah aku akan turut bertindak kejam sekali, jika kecurangan sedang menetas, adakah aku sanggup berlaku sama, jika kekerasan sedang meruap adakah aku salah seorang daripadanya, dan jika kelembutan terlihat sangat damai adakah aku akan mencemarinya?.

dengan sebiji bola ping-pong puisi, kita akan terus mengembara di dalam kesamaran untuk mencari dinding makna dan fungsi yang jelas, pemukul sudah di tangan, tinggal saja sejauh mana stamina yang kita ada mampu bertahan atau biar saja tersangkut di jaring kebuntuan.





1 comment:

  1. Salam Adi

    Sedikit cuplikan terkait sebagai respon :

    "KARYA SEDAR DIRI

    Maka, karya yang berlunaskan seni kepada diri dan untuk diri itu bukanlah karya syok sendiri selagi mana tukang seninya itu mempunyai kesedaran akan kedudukan seninya itu sendiri adalah semata-mata untuk dirinya.

    Darihal itu, baginya tidak ada langsung perbezaan akan pujian mahupun makian orang terhadap hasil seninya memandangkan seninya itu untuk dirinya. Kalaupun terzahir pada khalayak, soal materi mustahil timbul, perdebatan tentang hasil seninya pula nihil - selain dirinya, niskala. Melainkan, dia seorang bertauhid, maka dia berpegang kepada payungan Allah, itupun bersendikan man arafa nafsahu, faqad arafa rabbah.

    Walhasil, hasil seni itu terzahir kembali pada dirinya dengan peningkatan nilai dirinya sendiri melalui renungan & muhasabah diri yang lebih murni mahapun prinsip & pendirian diri yang lebih jelas setelah karya seni itu lahir. Makna baginya penting, kata baginya mustahak.

    Lantaran, matlamat penghasilan karya seni itukan untuk dirinya mengapresiasikan gelodak perasaan dan gelojak pemikiran dalaman. Sekaligus setelah karya seni terhasil, maka lebih murni dan lebih jelaslah dapatan luaran yang dapat dia insafi dan nikmati - sendiri.

    Begitulah, kesan seninya ialah hakikat."

    Pautan : http://zaimterbang.blogspot.my/2016/09/karya-syok-sendiri.html

    Wallahu'alam

    ReplyDelete